KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara yang paling berkuasa di dunia apabila berada di tangga ketujuh dalam Indeks Pasport Henley 2026, sekali gus membolehkan rakyat negara ini memasuki 183 destinasi tanpa visa atau mendapatkan visa semasa ketibaan.
Malaysia berkongsi kedudukan itu bersama Australia, Kanada, New Zealand, Czechia, Latvia, Slovakia dan Slovenia, selain kekal sebagai negara dengan pasport kedua paling berkuasa di Asia Tenggara selepas Singapura.
Singapura terus mendominasi senarai berkenaan dengan akses tanpa visa ke 192 destinasi, diikuti Jepun, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menariknya, Malaysia mengatasi beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat (AS), yang berada di kedudukan ke-10, serta Hong Kong di tangga ke-14.
Indeks Pasport Henley 2026 menilai kekuatan 199 pasport berdasarkan akses ke 227 destinasi di seluruh dunia menggunakan data rasmi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).










