ALOR SETAR: PAS bukan sahaja perlu bersahabat dengan parti-parti politik, malah ia juga perlu menjalin hubungan baik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengingatkan semua pihak yang ada di dalam parti itu supaya tidak mencari kawan yang suka berkelahi dalam membawa misi perjuangan politik mereka.
“Jangan cari musuh yang ramai. Dengan itu cari parti NGO yang boleh bergabung dengan kita termasuk dengan bukan Islam. Jangan cari yang banyak berkelahi dengan kita.
“Ini yang diajarkan oleh nabi dan al-Quran begitu. Akhirnya Islam berdaulat, Islam berkuasa.
“Pendekatan mengecilkan musuh. Jangan meramaikan lawan. Itu langkah yang sangat penting. Untuk mencapai kemenangan kita mesti mempunyai syarat-syarat kemenangan. Istiqamah dan faham. Jangan ikut jalan yang tidak menentu. Kalau cukup syarat Allah mesti tolong,” kata Abdul Hadi dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di sini yang berakhir hari ini.
Dalam ucapannya juga, Abdul Hadi bermata keberadaan PAS di dalam kerajaan pusat pada hari ini bukan jaminan untuk ia mencapai kuasa secara penuh.
Sebaliknya Ahli Parlimen Marang itu mahu mereka yang berada dalam kepimpinan kerajaan untuk mengatur strategi dan bekerja dengan baik supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada PAS kelak.
“Dalam keadaan kita memandu Pas, memandu sedikit sebanyak, belum berkuasa lagi. Kita mengerakkan kekuatan kita ke arah untuk mendominasi kerajaan sepenuhnya. Peringkat demi peringkat.
“Kerana itu saya minta supaya strategi yang bersifat nasional dipelihara dengan baik jangan masing-masing buat kepala sendiri dan kerja sendiri kerana ramal nak menang.
“Nak menang cepat. Saya beri pantun, Ikan tenggiri, Ikan Termenung, Di masak dihias bunga rampai, Hajat di hati nak peluk gunung, Apa nak buat tangan tak sampai.
“Tangan tak sampai lagi tapi Allah berjanji,” ujarnya.