Kartel Projek: 13 Individu Direman, Pengarah Agensi Kerajaan Antara Terlibat Kes Rasuah RM2.5 Juta

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 13 individu, termasuk seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di utara Semenanjung, yang disyaki terlibat dalam sindiket rasuah bernilai kira-kira RM2.5 juta bagi memonopoli pemberian projek kerajaan menerusi lantikan terus dan sebut harga.

Menurut SPRM, kesemua suspek dipercayai meminta dan menerima suapan daripada kontraktor sebagai balasan melantik syarikat-syarikat yang dikawal ejen kartel untuk memperoleh projek di bawah agensi berkenaan.

Tindakan itu didakwa membolehkan kumpulan tertentu menguasai peluang perolehan kerajaan sepanjang tempoh siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Ipoh selepas Majistret Anis Hanini Abdullah membenarkan permohonan SPRM semalam.

Tiga suspek, melibatkan dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat, direman selama dua hari sehingga hari ini, manakala 10 lagi direman selama lima hari sehingga 20 Jun.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 60-an ditahan antara jam 8 malam hingga 11 malam Isnin ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Perak.

Daripada jumlah itu, lapan adalah penjawat awam manakala lima lagi merupakan orang awam serta pemilik syarikat.

Siasatan awal mendapati kegiatan tersebut dipercayai berlaku antara tahun 2024 hingga 2026.

Kontraktor yang terlibat didakwa perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus daripada nilai projek kepada orang tengah sebelum wang itu disalurkan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi terbabit.

Dalam perkembangan sama, SPRM menerusi Op Drain yang dilancarkan Isnin lalu telah menjalankan serbuan di 25 lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak melibatkan kediaman, pejabat serta premis agensi kerajaan.

Hasil operasi itu, SPRM menyita pelbagai aset dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah, termasuk wang tunai kira-kira RM1.5 juta, sebuah jam tangan mewah, dua kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi serta barang kemas bernilai hampir RM1 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima dan meminta suapan.

BBerkaitan

Latest articles