Sultan Selangor Seru Umat Islam Perkukuh Perpaduan, Elak Perbalahan Terbuka

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam supaya terus memperkukuh perpaduan dan mengelakkan perbalahan terbuka yang boleh menghakis kekuatan masyarakat serta membuka ruang kepada perpecahan.

Bertitah sempena sambutan Tahun Baharu 1448 Hijrah, baginda menegaskan bahawa semangat hijrah perlu dijadikan landasan untuk menyatukan ummah, meningkatkan toleransi dan mendahulukan kepentingan agama, bangsa serta negara melebihi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Menurut baginda, peristiwa hijrah yang menjadi permulaan takwim Islam bukan sekadar menggambarkan perpindahan fizikal, malah membawa mesej perubahan ke arah yang lebih baik serta penyatuan umat dalam mendepani pelbagai cabaran semasa.

“Beta ingin mengulangi nasihat dan pesanan yang sering Beta tekankan agar umat Islam sentiasa mengutamakan perpaduan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengimbau pesanan almarhum ayahanda baginda yang sering menasihatkan agar masalah atau perbezaan pandangan tidak diperbesarkan di khalayak ramai, sebaliknya ditangani secara berhemah dan penuh adab.

Baginda menegaskan sebarang teguran atau nasihat hendaklah disampaikan dengan cara yang baik, manakala isu yang timbul perlu diselesaikan menerusi perbincangan tertutup berasaskan rasa hormat serta usaha mencari penyelesaian terbaik.

Menurut baginda, pertelingkahan yang dipamerkan secara terbuka hanya akan mendedahkan kelemahan umat dan bangsa kepada pihak lain yang mungkin mengambil kesempatan daripada perpecahan tersebut.

“Apabila kita bertengkar secara terbuka, pihak lain akan melihat kelemahan tersebut dan tidak mustahil ada yang mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku. Jika keadaan itu dibiarkan, tiada siapa yang akan benar-benar menang,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda berharap kedatangan tahun baharu 1448 Hijrah menjadi titik permulaan kepada usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan umat Islam serta seluruh masyarakat, selain membawa keberkatan, keamanan dan kesejahteraan kepada negara.

Baginda turut mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharram dan Ma’al Hijrah 1448 Hijrah kepada seluruh rakyat.

BBerkaitan

Latest articles