Dakwaan Puluhan Ribu Pelajar Ikut ‘Pintu Belakang’ Tuduhan Amat Berat, Cemar Nama Baik UA

​KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa terdapat antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam (UA) menerusi ‘pintu belakang’ merupakan satu tuduhan amat berat yang berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara.

​Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, dakwaan sedemikian bukan sahaja mencemarkan nama baik UA, malah membina naratif jahat kononnya peluang pelajar yang layak telah dirampas demi kepentingan kewangan.

​Tegas beliau, sebagai seorang sarjana atau individu yang pernah berada dalam dunia akademik, sewajarnya mana-mana pihak lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan kepada umum.

​”Tradisi akademik mengajar kita bahawa setiap pandangan, kritikan dan hujah mestilah berasaskan fakta, data serta bukti yang boleh dipertanggungjawabkan. Dunia akademik juga menuntut budaya perbahasan yang beradab, beretika dan membina, bukannya berasaskan tuduhan melulu, persepsi atau angka yang tidak dapat disahkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

​​Mengulas lanjut, Zambry menjelaskan bahawa sistem kemasukan ke UA di negara ini sentiasa dilaksanakan melalui mekanisme yang jelas, telus serta berasaskan merit dan syarat kelayakan yang ketat.

​Sehubungan itu, beliau mencabar pihak yang melemparkan tuduhan tersebut untuk mengemukakan bukti dan fakta yang sahih bagi menyokong dakwaan mereka.

​”Dalam dunia akademik, angka bukan sekadar angka. Setiap angka yang disebut mesti mempunyai sumber, metodologi dan asas yang boleh disemak serta diuji kebenarannya. Jika bukti itu tidak dapat dikemukakan, maka pihak yang membuat tuduhan perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan mereka,” ujarnya.

​Zambry turut memaklumkan bahawa susulan dakwaan itu, beberapa UA telah mengambil tindakan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan rasmi dijalankan.

​Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah tersebut bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara atau menutup ruang kritikan yang konstruktif.

​”Tindakan ini diambil bagi memastikan setiap tuduhan yang dilemparkan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya.

​”Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus mempertahankan integriti institusi pendidikan tinggi negara serta memastikan keyakinan rakyat tidak dicemarkan oleh dakwaan yang tidak berasas,” kata beliau.

BBerkaitan

Latest articles