PAS Sifatkan Tambahan Kuota Haji Antara Kejayaan Kepimpinan Muhyiddin

Hasil lawatan lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi minggu ini yang antaranya tambahan 10,000 kuota untuk jemaah mengerjakan haji merupakan salah satu kejayaan kepimpinan beliau.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata ia juga kejayaan besar bagi rakyat dan umat Islam negara ini.

Ketika ini Malaysia sudahpun memperoleh 31,600 kuota rasmi iaitu 0.1 peratus dari jumlah penduduk negara sebagaimana diperuntukan kerajaan Arab Saudi.

Tambah Kamaruzaman, kurniaan oleh Raja Salman Abdul Aziz dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman melalui Muhyiddin itu menunjukkan kepercayaan kepada Malaysia.

“Ia juga menjadi pengiktirafan kepada operasi pengurusan haji yang dilaksanakan kerajaan Malaysia, khususnya Lembaga Tabung Haji yang terbukti memberikan hospitaliti terbaik sebagaimana pujian dan penghargaan pernah diterima selama ini.

“Kurniaan tambahan besar kuota ini juga tentunya datang dari kesungguhan rundingan yang diadakan oleh Muhyiddin sempena lawatan kerjanya ke Arab Saudi.

“Ini tentunya menjadi satu lagi catatan pencapaian kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin, yang mendapat keyakinan kerajaan Arab Saudi dalam urusan yang sangat besar bagi umat Islam ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak COVID-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula.

Menurut Muhyiddin, perkara itu dipersetujui Putera Mohammed bin Raja Salman dalam pertemuan mereka di Istana Al Yamamah petang semalam.

Malah Putera Mohammed juga memberikan reaksi positif terhadap permintaan Malaysia bagi mendapatkan kuota haji tambahan apabila kerajaan Arab Saudi membuka sepenuhnya ibadat itu yang terjejas akibat pandemik.

Dengan perkembangan itu, Kamaruzaman berharap, ianya akan mengukuhkan lagi hubungan dua negara serta diperluaskan kepada sektor lain juga demi kepentingan ummah.

“Semoga dengan kurniaan ini, penghayatan ibadah dalam kalangan umat semakin meningkat dan dapat meraih keampunan serta limpahan keberkatan buat rakyat dan negara ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles