KUALA LUMPUR: Pernah bekerjasama dengan PAS sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan kepimpinan parti itu hari ini.
Malah lebih mengecewakan, Anwar mendakwa PAS yang diumpamakan memperjuangkan agama Islam itu gagal menggambarkan imej yang sebenar yang perlu ada pada pemimpinnya.
“Saya kecewa tatkala menghimbau keperibadian tinggi almarhum Tok Guru Nik Aziz dan almarhum Fadhil Noor dalam mengemudi PAS dahulu yang saya anggap jauh berbeda dengan PAS hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bukan itu sahaja Presiden PKR itu juga hairan bagaimana PAS menyerang beliau atas dasar fitnah demi untuk menang dalam PRU15 ini.
“Saya ambil contoh Ustaz Razman yang telah berkali-kali dibuktikan oleh mahkamah kerana memfitnah, namun beliau kekal dengan sikap bebal. Saya terkejut kerana tidak ada seorang pun pemimpin PAS yang menegur malah masih diletakkan sebagai calon Perikatan Nasional di Dun Semanggol.
“Kini beliau cuba kitar semula fitnah lama menyerang saya dan rakan-rakan. Dan yang terbaru Ustaz Ahmad Dusuki dan Sanusi juga menyerang peribadi dan menggunapakai naratif longkang.
“Ini sahajakah modal PAS untuk pilihanraya kali ini? Inikah politik matang dan sejahtera?,” soal Anwar.
Untuk rekod, Razman pernah kalah saman fitnah kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Sehubungan itu Anwar menggesa pengundi menilai semula kredibiliti pemimpin PAS pada PRU15 kali ini.
“Tidak mengapa untuk membenci saya tetapi dalam berpolitik harus ada adab dan etika. Ketengahkan fakta dan hujah kerana itu yang dimahukan rakyat, bukan budaya politik longkang yang dibalut dengan agama,” katanya.