PAS Didakwa Belakangi PN, Bersatu Guna Logo Sendiri Untuk PRN N. Sembilan

KUALA LUMPUR: Tindakan PAS mengadakan rundingan politik dengan Barisan Nasional (BN) tanpa persetujuan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mencetuskan krisis baharu dalam gabungan itu apabila Bersatu mengumumkan akan bertanding menggunakan simbol sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa tindakan PAS yang bergerak secara unilateral bukan sahaja menjejaskan rundingan pembahagian kerusi, malah bertentangan dengan semangat serta Perlembagaan PN.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 12 Julai lalu terpaksa ditangguhkan selepas PAS mengambil pendirian untuk mengadakan kerjasama politik dengan BN.

“Bersatu berpandangan perkara sebesar ini sepatutnya dibincangkan dan dipersetujui terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi PN kerana ia melibatkan dasar dan hala tuju gabungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin turut mempersoalkan kegagalan Pengerusi PN memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi ketika gabungan itu berdepan pilihan raya penting, sekali gus menyebabkan rundingan kerusi tergantung tanpa sebarang keputusan.

Beliau berkata, Bersatu kesal terhadap tindakan PAS yang mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan semua parti komponen serta tanpa mendapat mandat Majlis Tertinggi PN.

Menurutnya, parti itu juga kecewa dengan beberapa keputusan unilateral PAS yang disifatkan bercanggah dengan kepentingan PN sebagai gabungan politik nasional.

Muhyiddin mendakwa kenyataan beberapa pemimpin PAS yang menyeru kemenangan BN pada PRN Johor sebelum ini dan kini di Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN, malah bertentangan dengan matlamat asal gabungan untuk menjadi alternatif kepada BN dan Pakatan Harapan (PH).

Susulan kemelut itu, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memutuskan semua calon parti berkenaan akan bertanding menggunakan lambang Bersatu pada PRN Negeri Sembilan.

Pada masa sama, Bersatu turut memberi kuasa kepada Muhyiddin untuk mempertimbangkan permohonan beberapa parti politik lain yang berhasrat menggunakan simbol Bersatu pada pilihan raya tersebut.

Muhyiddin turut mendakwa PN di bawah kepimpinan PAS semakin menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya, khususnya dalam mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang aman, stabil dan harmoni.

Katanya, kenyataan mutakhir beberapa pemimpin PAS telah menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat, terutama generasi muda, terhadap komitmen gabungan itu dalam mempertahankan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Bersatu akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan yang sederhana dan inklusif berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara, selain menyeru rakyat Negeri Sembilan memberi mandat kepada calon-calon Bersatu pada PRN akan datang.

BBerkaitan

Latest articles