KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia digesa menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh susulan laporan Greenpeace yang mengaitkan syarikat perladangan Malaysia, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), dengan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pendedahan Greenpeace Indonesia dan Malaysia bersama Pantau Gambut pada 5 Oktober lalu itu perlu dipandang serius bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta menentukan kaitan mereka dengan krisis jerebu rentas sempadan.
Menurutnya, rakyat Malaysia tidak sepatutnya terus menanggung kesan pencemaran udara yang berulang setiap tahun, termasuk risiko kesihatan, gangguan kegiatan ekonomi dan kerosakan alam sekitar.
“34.4 juta rakyat Malaysia tidak sepatutnya terus menanggung akibat pencemaran udara yang berulang setiap tahun.
“Apabila sekolah terpaksa ditutup akibat jerebu yang serius, anak-anak kehilangan waktu pembelajaran, manakala ibu bapa dan peniaga turut menanggung kesannya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Laporan Greenpeace dan Pantau Gambut mengenal pasti KLK antara 20 entiti yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia berdasarkan analisis data sumber jerebu bagi tempoh Ogos hingga 1 Oktober 2026.
Laporan itu menyatakan KLK mempunyai kaitan korporat dengan entiti Indonesia, PT Menteng Jaya Sawit Perdana (PT MJSP), yang turut dikenal pasti mempunyai kebakaran di kawasan tanahnya dalam laporan berkaitan jerebu pada 2019.
Bagaimanapun, KLK menafikan kebakaran yang dikaitkan dengan anak syarikatnya itu berpunca dari dalam kawasan konsesi syarikat, sebaliknya menjelaskan insiden berkenaan berasal dari luar kawasan terbabit dan semuanya telah dipadamkan.
KLK turut menegaskan PT MJSP mengamalkan dasar sifar pembakaran selaras dengan komitmennya sebagai anggota Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO).
Menurut kumpulan itu, konsesi PT MJSP telah matang sepenuhnya dan tidak menjalankan aktiviti penanaman semula, selain tidak membenarkan pembakaran terbuka bagi tujuan penyediaan tanah atau aktiviti lain dalam operasinya.
KLK juga memaklumkan keadaan cuaca kering berpanjangan tahun ini meningkatkan risiko kebakaran serta kemungkinan api kembali merebak selepas dipadamkan. Sehubungan itu, pasukannya mempergiat usaha memadam dan mengawal kebakaran, termasuk di kawasan luar konsesi syarikat.
Dalam pada itu, Wan Saiful menggesa kerajaan mewujudkan tabung pampasan khas yang dibiayai entiti terbabit bagi membantu mangsa jerebu, termasuk menampung kos rawatan kesihatan, pemulihan alam sekitar dan kerugian yang dapat dibuktikan.
Beliau berkata, rakyat tidak sepatutnya menanggung sendiri kos akibat pencemaran yang bukan berpunca daripada tindakan mereka sekiranya terdapat pihak korporat yang terbukti bertanggungjawab.
Selain itu, beliau menyeru penduduk yang terjejas bersama organisasi masyarakat sivil (CSO) mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap entiti korporat yang terbukti mempunyai kaitan dengan kebakaran berkenaan.
“Tindakan mesti berasaskan bukti dan dilaksanakan melalui saluran undang-undang yang sah,” katanya.
Sementara itu, laporan Greenpeace merekodkan sebanyak 5,540 titik sumber asap antara 8 Ogos hingga 20 September 2026, dengan 859 titik dikesan dalam 115 konsesi perizinan berusaha pemanfaatan hutan (PBPH) dan 774 titik lagi dalam 210 konsesi perladangan kelapa sawit.
Laporan sama turut menganggarkan pendedahan jangka panjang kepada zarah halus PM2.5 daripada kebakaran tanah gambut di Sumatera dan Kalimantan dikaitkan dengan kira-kira 33,100 kematian pramatang dalam kalangan orang dewasa serta 2,900 kematian bayi setiap tahun.
Di Malaysia, laporan itu menyatakan jerebu menjejaskan kualiti udara di Sarawak selama 41 hari, Sabah selama 11 hari, Johor selama tujuh hari dan Kuala Lumpur selama lima hari setakat 14 September 2026.
Wan Saiful menegaskan kerajaan tidak boleh sekadar mengeluarkan kenyataan setiap kali jerebu melanda, sebaliknya perlu memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi melindungi kesihatan rakyat serta mengelakkan kejadian sama berulang.
“Jerebu bukan perayaan tahunan yang perlu kita terima sebagai perkara biasa!” katanya.










