Umno Negeri Sembilan Akan Pertimbang Usul Tidak Percaya Terhadap Ismail?

KUALA LUMPUR: Umno Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan langkah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, menurut sumber.

Sumber yang dipetik Free Malaysia Today (FMT) mendakwa usul berkenaan akan dibawa oleh Ketua Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pertang.

Bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan langkah itu masih bergantung kepada kepimpinan pusat Umno.

“Keputusan kini terletak pada kepimpinan pusat Umno,” kata sumber itu.

Sumber sama turut memaklumkan kemungkinan pembentukan barisan baharu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau exco sekiranya langkah berkenaan diteruskan.

Sidang DUN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 26 November ini, selepas ditangguhkan daripada tarikh asal 16 Oktober bagi menyelaraskan persidangan dengan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada hari berikutnya.

Sebelum ini, Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Awaludin Said, memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang notis rasmi berhubung usul tidak percaya terhadap Ismail.

Beliau turut menegaskan tidak akan membenarkan usul tergempar, termasuk yang bertujuan menjatuhkan Menteri Besar.

Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu selepas keputusan pilihan raya negeri (PRN) menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 11 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tujuh kerusi.

Bagaimanapun, pentadbirannya dibayangi krisis perlembagaan negeri yang tercetus susulan kontroversi berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ismail dilaporkan menandatangani proklamasi bagi melucutkan kedudukan baginda pada 3 Ogos.

Namun, beliau kemudian mendakwa dipaksa menandatangani dokumen berkenaan dan membuat laporan polis selepas perkara itu didedahkan kepada umum pada 8 September.

Pada 15 September, barisan exco negeri mengeluarkan kenyataan mendakwa pelucutan takhta Tuanku Muhriz pada April adalah sah, sekali gus menyatakan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu negeri.

Ismail kemudiannya menyokong pendirian exco berkenaan dan mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri meneruskan proses pewartaan proklamasi itu.

Perkembangan tersebut menyaksikan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 exco terbabit, kecuali Ismail.

Susulan itu, 10 bekas exco berkenaan memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah awal minggu ini bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka.

BBerkaitan

Latest articles