KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS akan membincangkan tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan dengan rakan-rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat.
“PAS mengucapkan terima kasih atas tawaran, …seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN,” katanya.
Takiyuddin menerusi kenyataan hari ini juga berkata, PAS menerima dengan redha dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
“PAS menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.
“PAS turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.
Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, PAS yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisme yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata.
Malam tadi, dalam sidang media sulung selepas mengangkat sumpah memegang jawatan, Perdana Menteri mengajak Perikatan Nasional (PN) mendukung kerajaan Perpaduan yangn ditubuhkannya.
Anwar berkata, saranan itu dibuat bagi membolehkan sebuah kerajaan yang kukuh dapat mentadbir Malaysia.