Parti Kancil Tiada Impak Besar, Tian Chua Gesa Pengundi Perkukuh Sokongan Kepada PH

JOHOR BAHRU: Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berpandangan Parti Kancil yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli tidak mempunyai pengaruh besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya pengundi disaran menumpukan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, pengukuhan kedudukan PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) penting bagi memastikan wujud keseimbangan kuasa dalam pentadbiran negeri serta berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.

Katanya, meskipun PH kini bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Persekutuan, peranan gabungan itu sebagai pembangkang atau blok semak dan imbang di peringkat negeri tetap signifikan bagi mengelakkan kuasa tertumpu kepada satu parti sahaja.

“Dalam perjuangan reformasi, kita sentiasa menekankan kepentingan keseimbangan kuasa. Jika sesebuah kerajaan dikuasai sepenuhnya oleh satu parti tanpa semak dan imbang, ia boleh memberi kesan negatif kepada sistem pentadbiran.

“Sebab itu saya menyeru semua pengundi pulang mengundi dan memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas dakwaan kononnya wujud gerakan memboikot PRN Johor dalam kalangan pengundi Cina, Tian Chua menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya bukan isu utama.

Sebaliknya, beliau percaya kadar motivasi yang rendah untuk pulang mengundi lebih dipengaruhi faktor pilihan raya yang hanya melibatkan sebuah negeri, selain komitmen pekerjaan yang menyebabkan sebahagian pengundi memilih untuk tidak mengambil cuti.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa keputusan PRN akan memberi kesan langsung kepada rakyat Johor, justeru pengundi tidak seharusnya menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab mereka.

“Saya tidak fikir wujud boikot. Mungkin ada yang kurang bermotivasi kerana ini hanya pilihan raya negeri dan ada yang mengutamakan kerja. Namun, akhirnya rakyat sendiri akan menanggung kesan daripada keputusan pilihan raya ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Tian Chua menegaskan PH merupakan gabungan yang memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, bukannya mewakili mana-mana kelompok etnik semata-mata.

Beliau berkata, agenda utama PH adalah memastikan keseimbangan kuasa demi mewujudkan pentadbiran yang lebih telus dan adil, sekali gus memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Sebelum ini, Rafizi mengumumkan Parti Kancil akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.

Daripada jumlah itu, lapan kerusi merupakan kawasan yang kini disandang UMNO iaitu Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Permas, Larkin, Kempas, Kota Iskandar dan Bukit Permai.

Lima lagi kerusi melibatkan kawasan yang disandang DAP iaitu Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai dan Senai, manakala Bukit Batu dan Puteri Wangsa masing-masing disandang PKR serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

BBerkaitan

Latest articles