Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun nekad membuat laporan polis pada
Khamis lalu kerana tidak tahan menjadi mangsa rogol bapa saudara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 14 tahun itu jam 12.51 tengah hari.
“Menurut mangsa, dia dirogol suspek berusia 41 tahun sejak Mac hingga Disember tahun lalu di rumah keluarga mereka di Sea Park.
“Mangsa memaklumkan dia dirogol oleh suspek ketika ibunya tiada di rumah atau semasa adik-beradiknya tidur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan suspek di sebuah rumah di Sea Park jam 7.30 malam hari sama.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
“Mangsa kini diberikan perlindungan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.