NGO Gesa Muhyiddin, Tun M Dan Anwar Lakukan Muafakat Politik

Tiga badan bukan kerajaan (NGO) hari ini berharap pemimpin utama politik di negara ini, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerjasama dalam muafakat politik supaya kestabilan dan keharmonian negara terpelihara.

Gesaan itu dibuat oleh Bersih 2.0, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerusi satu kenyataan bersama.

Tegas mereka, usaha untuk membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum yang baharu tidak akan menjanjikan penyelesaian terbaik dalam kemelut politik terkini.

“Justeru, kami menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengetuai inisiatif untuk menggantikan beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang menamatkan kebuntuan dan komplot politik ini dengan pemuafakatan pelbagai parti untuk penjajaran semula politik tanpa mengira siapa Perdana Menteri atau parti mana yang berkuasa,” kata mereka.

Ketiga-tiga NGO ini berpandangan, jika parti politik berkeras hendak mengadakan PRU dalam masa terdekat, maka mereka akan melihat kesan situasi parlimen yang tergantung, wakil rakyat yang dipilih dengan undi kurang dari 50 peratus dan tiada satu parti yang benar-benar meyakinkan rakyat.

Sehubungan itu, Bersih 2.0, GBM dan ABIM mengemukakan enam cadangan dalam usaha membaikpulih situasi politik di Malaysia.

Cadangan tersebut adalah kesetaraan di sisi undang-undang; peranan yang lebih konstruktif untuk pembangkang dan penyokong (backbenchers) kerajaan; reformasi pendanaan politik yang komprehensif; melarang wakil rakyat melompat parti; pengimbangan semula pembahagian kuasa persekutuan; negeri dan kerajaan tempatan; serta reformasi politik pilihan raya dan pewakilan.

BBerkaitan

Latest articles