‘Nafas Hapak’ Wan Fayhsal Punca Anak Muda Tolak Armada

 

KUALA LUMPUR: Nampak gayanya Armada dilanda krisis kepimpinan sayap apabila ramai dalam kalangan anak muda menolak Ketua Armada Nasionalnya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Bendahari Biro Antarabangsa Armada Nasional, Syaiful Irfan Anang berkata kesilapan terbesar Wan Fayhsal selepas menang dalam pemilihan parti yang lepas adalah tidak meletakkan Armada di tahap yang boleh dibanggakan.

Malah kegagalan kepimpinan dan strategi gerak kerja Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu juga dapat dilihat menerusi kekalahan demi kekalahan BERSATU di dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Wan Fayhsal sepatutnya menggunakan momentum dan peluang beliau apabila menang pada pemilihan parti yang lepas untuk terus memperkasakan parti tanpa berlengah lagi.

“Ketika itu parti berada dalam keadaan di mana ahli-ahli masih lagi bersemangat dengan slogan ‘Nafas Baru’ yang beliau bawa ketika pemilihan dan berharap ianya tidak sekadar slogan retorik dan yakin beliau mampu untuk membawanya kepada Armada dan juga parti BERSATU secara keseluruhan.

“Namun jelas terbukti beliau gagal untuk membawa ‘nafas baru’ sebaliknya ‘nafas hapak’ pula yang dibawa apabila Armada tidak lagi diminati golongan muda termasuk juga mahasiswa yang semakin menjauh daripada parti BERSATU yang satu ketika dahulu 55 peratus daripada keahlian adalah terdiri daripada golongan muda dan mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menjelaskan lebih lanjut, Syaiful meluahkan rasa kecewanya dengan sikap sambil lewa Wan Fayhsal dalam mengemudi sayap BERSATU itu dalam kalangan anak muda, terutama mahasiswa.

Sebelum ini, kelab mahasiswa luar negara yang mesra dengan Armada telah berjaya diwujudkan di sembilan buah negara, dan sudah ada perancangan untuk meluaskan lagi pengaruhnya ke Belgium dan Australia.

Bagaimanapun hasrat itu didakwa Syaiful sebagai tergendala selepas Wan Fayhsal dipilih sebagai Ketua Armada Nasional.

Sehubungan itu, beliau menggesa Wan Fayhsal untuk segera bertindak menyelamatkan sayap BERSATU itu dari terus dilanda krisis kepimpinan.

“Ianya jelas satu bentuk kerugian yang nyata kepada Armada dan parti BERSATU apatah lagi apabila undi 18 akan dilaksanakan kelak dan beliau masih lagi terpinga-pinga dan khayal dengan kedudukan dan jawatan selaku seorang senator dan timbalan menteri seolah olah jawatan itu akan kekal abadi.

“Sudah sampai masanya beliau terkejut dari tidur yang lena dan segera menunaikan kewajipan untuk membantu memulihkan semula sokongan yang semakin layu kerana kita tidak mahu kita hanya menunggu sokongan turun dari langit tanpa berbuat apa-apa.”

 

BBerkaitan

Latest articles