Malaysia Kekal Antara Pasport Paling Berkuasa Dunia, Duduki Tangga Keenam Indeks Henley 2026

KUALA LUMPUR, 25 Mei — Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai antara negara dengan pasport paling berkuasa di dunia apabila berada di tangga keenam dalam Henley Passport Index 2026 Global Ranking yang diterbitkan Henley & Partners. 

Berdasarkan laporan yang dikemas kini pada 7 Mei 2026, pemegang pasport Malaysia kini menikmati akses tanpa visa atau visa semasa ketibaan ke 183 destinasi di seluruh dunia. 

Malaysia berkongsi kedudukan keenam bersama Hungary, Poland dan United Kingdom dalam senarai global tersebut, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai antara pasport paling kukuh di Asia Tenggara selepas Singapura. 

Laporan itu meletakkan Singapura di kedudukan pertama dunia dengan akses ke 192 destinasi tanpa visa, diikuti Jepun, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu di tempat kedua dengan akses ke 187 destinasi. 

Henley & Partners dalam laporannya menyatakan bahawa Henley Passport Index merupakan penarafan pasport paling autoritatif di dunia yang menilai kekuatan pasport berdasarkan jumlah destinasi yang boleh dimasuki tanpa visa terlebih dahulu. Indeks itu melibatkan 199 pasport dan 227 destinasi pelancongan global. 

Dalam kalangan negara ASEAN lain, Thailand berada di kedudukan ke-60 dengan akses ke 76 destinasi, Indonesia di tangga ke-65 dengan 70 destinasi manakala Filipina di kedudukan ke-70 dengan akses ke 65 destinasi. 

Amerika Syarikat pula berada di tangga ke-10 bersama Iceland dengan akses ke 179 destinasi, manakala China berada di kedudukan ke-56 dengan skor 82 destinasi. 

Henley & Partners menjelaskan bahawa data indeks itu diperoleh berdasarkan maklumat rasmi Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan dikemas kini secara berkala bagi mencerminkan perubahan polisi visa global. 

BBerkaitan

Latest articles