KUANTAN: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam di negara ini agar terus mempertahankan perpaduan serta menjauhi sebarang unsur yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Menerusi Titah Perutusan Aidiladha 2026, baginda menegaskan bahawa sambutan Aidiladha bukan sekadar simbol ibadah korban, malah membawa mesej besar mengenai keikhlasan, pengorbanan dan kekuatan ukhuwah sesama umat Islam.
Baginda yang turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha bersama Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkata, perhimpunan jutaan umat Islam di Tanah Suci ketika musim haji membuktikan Islam menuntut umatnya hidup dalam semangat persaudaraan, saling menghormati dan bersatu tanpa mengira bangsa serta kedudukan.
“Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ketika ini, rakyat perlu terus memelihara perpaduan, menghindari perpecahan dan tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan terhadap seruan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj yang sebelum ini mengingatkan umat Islam dan orang Melayu supaya terus memperkukuh kesatuan demi mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan bangsa serta mencetuskan keresahan rakyat.
Menurut baginda, kekuatan sesebuah negara bukan hanya dinilai melalui kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kestabilan masyarakat, perpaduan rakyat dan sikap hormat-menghormati antara kaum serta agama.
Baginda turut berharap rakyat di negeri ini sentiasa menjaga adab, memperkukuh semangat muafakat dan mendahulukan kepentingan bersama demi memastikan keamanan serta kesejahteraan negara terus terpelihara.
Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang turut mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik serta memperoleh haji yang mabrur sebelum kembali ke tanah air dengan selamat.










