Muhyiddin Tolak Gesaan Bubar BERSATU – ‘Mengapa Saya Perlu Kembali Kepada UMNO?’

KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu tidak akan dibubarkan meskipun diasak supaya berbuat demikian, sebaliknya menekankan BERSATU akan terus menjadi wadah perjuangannya dalam arena politik negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tiada sebab munasabah untuk menamatkan sebuah parti yang sudah hampir sedekad bertapak dan mempunyai struktur organisasi serta keahlian yang kukuh.

Menurutnya, BERSATU bukan sebuah parti yang muncul sementara sebelum lenyap, malah telah melalui pelbagai cabaran sejak ditubuhkan dan kekal meneruskan perjuangannya.

“Saya tidak nampak sebab mengapa BERSATU perlu dibubarkan. Dalam tempoh 10 tahun ini, BERSATU sudah melalui satu perjalanan cukup bermakna dan bukan sebuah parti yang muncul seketika kemudian lenyap.

“Kalau niat perjuangan kita baik, mengapa pula perlu tamatkan parti ini? Nak pergi mana? Duduk berehat? Orang boleh sokong atau tidak, tetapi hormatilah perjuangan kami,” katanya memetik Berita Harian.

Muhyiddin turut menyindir cadangan supaya seluruh ahli BERSATU kembali menyertai UMNO dengan mempersoalkan rasional saranan itu.

Katanya, beliau sendiri bukan meninggalkan UMNO secara sukarela, sebaliknya dipecat daripada parti tersebut sebelum memimpin BERSATU.

“Suruh bubarkan parti, kemudian minta semua masuk UMNO. UMNO pun berdepan pelbagai masalah. Saya dipecat oleh UMNO, bukannya saya keluar sendiri.

“Selepas itu barulah saya memimpin BERSATU. Jadi mengapa saya perlu kembali kepada UMNO? Logik tak?” katanya.

Semalam, Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menggesa BERSATU dibubarkan dan semua ahlinya kembali menyertai UMNO sebagai usaha menyatukan politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau mendakwa BERSATU semakin tersisih daripada arus perdana politik susulan krisis dalaman parti serta kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN), selain kegagalan memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata penubuhan BERSATU sejak awal berasaskan matlamat memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara, justeru parti itu tidak akan dibubarkan hanya kerana desakan mana-mana pihak.

Beliau berkata, dalam sebuah negara demokrasi, setiap parti mempunyai hak untuk terus memperjuangkan agenda masing-masing tanpa dipandang serong atau dilabel sebagai pengacau.

Muhyiddin turut menegaskan BERSATU memiliki kekuatan organisasi yang besar dengan kira-kira 5,000 cawangan, hampir 500,000 ahli dan beroperasi di 180 bahagian di seluruh negara.

“Saya percaya masih banyak yang boleh dilakukan untuk negara. Ini bukan perjuangan saya seorang, tetapi perjuangan sebuah pasukan yang besar.

“Malah saya pernah beritahu ahli-ahli, walaupun akhirnya saya tinggal seorang dalam perjuangan ini, BERSATU akan tetap wujud dan saya akan terus mempertahankan perjuangan parti ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles