​KUALA LUMPUR: Kelewatan pengagihan baja subsidi selama tiga bulan mencetuskan kebimbangan serius terhadap kelangsungan hidup serta kualiti hasil padi melibatkan ribuan pesawah di Perlis dan Kedah.
​Perwakilan Perlis, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, isu berkenaan sewajarnya diberi perhatian penuh dan ditangani secara mendalam kerana ia menyentuh kepentingan asas sektor pertanian negara.
​Menurut beliau, kawasan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sahaja merangkumi hampir 10,000 pesawah di Perlis dan kira-kira 35,000 pesawah di Kedah.
​”Isu baja di Perlis dan Kedah ini amat serius. Kelewatan pengagihan sehingga tiga bulan ini perkara yang harus ditangisi dan disemak semula, terutamanya bagaimana kaedah pengagihan tender tersebut berlaku.
​”Sekarang ini yang membantu hanya NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) kerana syarikat yang dilantik tidak mampu menyelesaikan urusan ini.
​”Ingat, Perlis dan Kedah di bawah MADA menyumbang kira-kira 38 peratus pengeluaran beras dalam negara kita. Walaupun Perlis itu kecil, sumbangannya amat besar,” katanya.
​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat.
​Mengulas lanjut, Fathul Bari menegaskan bahawa kelewatan bekalan baja berkenaan membawa implikasi buruk kepada dua aspek utama iaitu jumlah hasil dan kualiti padi.
​”Kelewatan ini menyebabkan dua perkara utama berlaku. Pertama, hasil padi tentulah berkurangan. Kedua, kualiti padi akan menjadi masalah disebabkan kekurangan baja yang diperlukan mengikut jadual.
​”Hal-hal seperti inilah yang sepatutnya diberi tumpuan dan tindakan segera kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan urusan serta kelangsungan hidup rakyat di peringkat akar umbi,” jelas beliau.
​Justeru, beliau menyambut baik ketegasan serta komitmen kerajaan untuk menyiasat dan mengkaji semula kelemahan dalam rantaian bekalan serta pengagihan baja berkenaan demi memastikan nasib pesawah terus terbela.










