KUALA LUMPUR: Generasi muda hari ini tidak menuntut untuk dimanjakan, sebaliknya mahu suara mereka didengar, realiti kehidupan mereka difahami dan janji politik diterjemahkan kepada tindakan yang benar-benar memberi kesan.
Wakil Puteri UMNO, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim berkata, meskipun anak muda mungkin tidak menjadikan politik sebagai topik perbualan harian, mereka tetap berdepan secara langsung dengan kesan keputusan politik dalam kehidupan seharian.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh itu, persoalan seperti kemampuan membayar rumah, menampung kenaikan kos barangan dan mencukupkan pendapatan pada penghujung bulan merupakan antara perkara yang lebih dekat dengan kehidupan generasi muda.
“Generasi hari ini bukan mahu dimanjakan. Mereka mahu didengari, mereka mahu difahami dan selepas kita mendengar, mereka mahu melihat apa yang kita lakukan.
“Politik mungkin bukan perkara yang mereka bincangkan setiap masa, tetapi kesan politik mereka rasa setiap hujung bulan – cukupkah pendapatan, mampukah bayar rumah, mampukah menampung harga barang yang meningkat dan ada atau tidak peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Nadhirah Afiqah berkata, UMNO tidak seharusnya mencari formula mudah untuk meraih sokongan anak muda, sebaliknya perlu terlebih dahulu memahami kehendak, keresahan dan cabaran yang dihadapi golongan berkenaan.
Katanya, keyakinan generasi baharu tidak boleh dituntut hanya melalui seruan supaya mereka mempercayai parti, sebaliknya perlu dibina melalui sebab yang kukuh untuk mereka memberikan kepercayaan.
“Saya tidak percaya ada satu formula ajaib untuk memenangi keyakinan mereka. Tetapi saya percaya, kalau kita mahu generasi baharu memahami UMNO, kita juga mesti berusaha memahami mereka.
“Kita tidak boleh hanya meminta mereka mempercayai kita, kitalah yang perlu memberikan mereka sebab untuk percaya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi peringatan kepada kepimpinan dan seluruh jentera UMNO supaya tidak terbuai dengan kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.
Sebaliknya, katanya, parti perlu menjadikan pengalaman Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai pengajaran bahawa kemenangan terdahulu tidak pernah menjadi jaminan untuk pilihan raya seterusnya.
“Kemenangan semalam tidak pernah menjamin kemenangan esok. Kita pernah belajar pengajaran yang cukup pahit sebelum PRU15.
“Kita menang besar di Melaka, kita menang bergaya di Johor, tetapi apabila PRU15 tiba, hasilnya sangat berbeza. Kita terduduk dan Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen,” katanya.
Menggunakan analogi perlawanan bola sepak, Nadhirah Afiqah berkata setiap pilihan raya perlu dianggap sebagai pertandingan baharu tanpa bergantung kepada pencapaian atau kemenangan lalu.
“Dalam mana-mana perlawanan, gol yang kita jaringkan semalam tidak dibawa masuk ke permainan hari ini. Apabila wisel ditiup, papan skor kembali ‘kosong-kosong’.
“Begitu juga dalam politik, setiap pilihan raya kita bermula kosong-kosong,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru UMNO, khususnya Puteri, supaya terus menyesuaikan pendekatan dengan perubahan zaman dan kehendak generasi baharu bagi memastikan parti kekal relevan serta mampu melahirkan kesinambungan kepimpinan untuk masa depan.










