PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu perbicaraan satu kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, individu berkenaan, Ta Jin Kiat, 48, merupakan warganegara Malaysia yang disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Menurut SPRM, lelaki itu gagal dihubungi meskipun usaha mengesannya telah dilakukan di alamat terakhirnya di Persiaran Madge, Kuala Lumpur.
Susulan itu, waran tangkap terhadap Ta telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 2 September lalu.
“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, PPs Stefan Lue Hsien Yang di talian 017-902 8199 atau 03-8870 0801,” menurut kenyataan itu.
Maklumat juga boleh disalurkan menerusi e-mel [email protected].
SPRM bagaimanapun tidak memperincikan kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atau kapasiti Ta diperlukan bagi membantu perbicaraan berkenaan.










