SEREMBAN: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang melabelkan Bersatu sebagai sekadar “kacau daun” pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai tidak matang.
Menurut Muhyiddin, Bersatu bertanding dalam PRN kali ini dengan matlamat jelas untuk meraih kemenangan, bukannya sekadar menjadi pelengkap pertandingan seperti didakwa.
“Khaled seorang ahli politik yang sudah lama, matang, pernah menjadi menteri dan masih menjadi menteri. Tetapi cakap macam budak-budak.
“Kita bukan main-main masuk PRN. Kita datang untuk menang, jadi jangan perlekehkan kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah di DUN Sikamat, malam tadi.
Beliau mengulas kenyataan Khaled ketika pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) di Johol yang mendakwa penyertaan Bersatu hanya bertujuan mengganggu saingan, selain menyeru pengundi supaya memastikan parti itu gagal memenangi walaupun satu kerusi.
Mengulas mengenai calon Menteri Besar sekiranya Bersatu memperoleh mandat, Muhyiddin berkata perkara itu belum wajar diumumkan dan hanya akan diputuskan mengikut perkembangan selepas pilihan raya.
“Kita tidak perlu umum apa-apa sekarang. Kita tengok dahulu bagaimana situasi dan tahap sokongan rakyat. Insya-Allah jika mendapat sokongan yang kuat, kita akan buat keputusan apabila tiba masanya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin memaklumkan Bersatu akan melancarkan manifesto PRN Negeri Sembilan dalam masa terdekat yang memfokuskan kepada beberapa agenda utama termasuk ekonomi, pembangunan prasarana, kesihatan awam dan pendidikan.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Bersatu bertanding menggunakan lambangnya sendiri susulan kemelut dengan PAS serta kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan BN.
Parti itu meletakkan 24 calon, termasuk bertembung dengan dua parti komponen PN, iaitu PAS dan Parti Wawasan Negara, di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengundian bagi PRN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 1 Ogos.










