KUALA LUMPUR: Puteri UMNO Malaysia bimbang penangguhan berterusan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) sepatutnya memberikan kepastian undang-undang dan bukannya menjadi punca kepada ketidakpastian yang berpanjangan.
Menurutnya, alasan untuk menangguhkan pelaksanaan tahanan di rumah atas faktor mendapatkan kepastian undang-undang tidak seharusnya berulang tanpa penjelasan perundangan yang kukuh.
Beliau berkata, perkara itu lebih menimbulkan persoalan apabila bayaran denda RM50 juta telah direkodkan, perintah Mahkamah Tinggi dikeluarkan dan kediaman Najib turut diwartakan sebagai penjara.
“Namun, selepas semua proses ini berlangsung, AGC masih membangkitkan isu tafsiran undang-undang.
“AGC sepatutnya memberikan kepastian undang-undang, bukan menjadi punca kepada ketidakpastian yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Nurul Amal berkata, kelewatan sedemikian hanya membuka ruang kepada persepsi bahawa keadilan dilaksanakan secara terpilih.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Puteri UMNO tetap menghormati proses perundangan, namun perkara itu perlu disusuli ketegasan, ketelusan dan konsistensi daripada institusi yang bertanggungjawab melaksanakannya.
“Jangan sampai rakyat hilang keyakinan terhadap sistem keadilan hanya kerana institusi yang sepatutnya mempertahankannya gagal memberikan kepastian,” katanya.










