MP Kuala Kangsar Sokong Anwar, Tidak Keluar Bersatu Namun Sedia Apa Jua Tindakan Parti

KUALA LUMPUR: Enggan melihat pengundi di kawasan tersisih hanya kerana perbezaan politik, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai semalam.

Keputusan itu dilakukan Iskandar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, saya menyokong perdana menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Iskandar menegaskan beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.

Namun beliau memberitahu bersedia dengan sebarang risiko tindakan disiplin oleh parti.

“Saya dengan ini mengambil keputusan untuk menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini, sehingga Pilihan Raya Umum yang seterusnya,” katanya.

PRU15 menyaksikan Iskandar Dzulkarnian menang Parlimen Kuala Kangsar dengan mendapat 14,380 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN) Maslin Sham Razman yang menerima 10,814 undi dan Ahmad Termizi Ramli daripada Pakatan Harapan (10,356 undi) serta calon GTA Yusmalia Mohamad Yusof (204 undi).

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu pernah menjadi setiausaha politik menteri besar Perak sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

BBerkaitan

Latest articles