MP Bukit Gantang Dakwa Ada Lagi Lapan MP Bersatu Akan Isytihar Sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Bersatu terus kehilangan dokongan Ahli-ahli Parlimennya, apabila dikatakan sekurang-kurangnya lapan lagi wakil rakyat parti itu akan menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dalam satu sidang media, hari ini.

Bagaimanapun Syed Abu Hussin enggan menamakan mereka yang akan menyertai lima Ahli Parlimen Bersatu yang lebih awal menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Dulu saya kata, lima enam orang. Sekarang ini ada tujuh lapan orang. Tapi nama saya tidak boleh maklumkan di sini.

“Tunggu masa dan lihat akan ada pengumuman-pengumuman mereka yang akan menyokong kerajaan madani. Insya-Allah dalam masa terdekat,” kata Syed Abu Hussin.

Syed Abu Hussin merupakan Ahli Parlimen Bersatu kelima yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar, selepas Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Menerusi sidang media yang sama, Syed Abu Hussin mendakwa dirinya masih merupakan ahli Bersatu.

Malah sehingga kini beliau memberitahu belum menerima sebarang tindakan susulan daripada Bersatu, termasuk tindakan disiplin selepas menyatakan sokongan secara terbuka kepada Anwar.

Bahkan Syed Abu Hussin memaklumkan beliau tidak pernah dipanggil atau dikunjungi mana-mana pemimpin Bersatu untuk mendapatkan penjelasan tindakannya.

Bagaimanapun beliau mengakui telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp PN.

“Yang pertamanya, saya tidak melanggar peraturan parti. Bersatu dalam perlembagaan tidak melarang seseiapa memberikan sokongan.

“Apa yang saya buat tidak melanggar perlembahaan parti. Kalau parti mahu mengambil tindakan ia perlu dibawa ke Jawatankuasa Disiplin yang akan memutuskan apa bentuk tindakan yang boleh diambil. Saya bersedia,” katanya.

Dalam pada itu Syed Abu Hussin tetap menegaskan tindakannya menyokong kepimpinan Anwar dilakukan selepas Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak membuat sebarang usaha untuk berunding dengan Kerajaan Pusat, terutama melibatkan soal peruntukan kawasan.

Tegasnya, beliau memikirkan nasib rakyat di kawasannya dan kawasan yang dimenangi oleh PN yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.

BBerkaitan

Latest articles