Mohd Puad Bidas Annuar Sebagai Hipokrit, Lebih Suka DAP, Muhyiddin Dari UMNO

KUALA LUMPUR: Kekalahan Barisan Nasional (BN) tempoh hari seolah-olah ‘membuka’ ruang kepada pemimpin UMNO dan BN meluahkan segala rasa ketidapuasan hati yang lama terpendam.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini mendakwa bahawa beliau percaya wujud gerakan di dalam UMNO dan BN yang digerakkan oleh pimpinan atasan untuk bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan selepas BN tewas PRU15.

Terbaru, menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi, Annuar juga mendakwa wujud konspirasi terancang apabila ada pihak cuba mengelirukan Yang di-Pertuan Agong dalam soal pemilihan Perdana Menteri ke-10.

Tanpa merujuk kepada siapa, Ketua UMNO Bahagian Ketereh mendakwa, pihak terbabit mengemukakan dokumen bercanggah Perlembagaan dan bertentangan keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) diumum semalam.

Bagaimanapun kenyataan dan dakwaan Annuar itu tidak disenangi oleh beberapa pihak di dalam parti, termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau menyifatkan Annuar sebagai seorang yang hipokrit, kerana beliau sendiri bersekongkol dengan DAP.

“Annuar lupa sejarah UMNO duduk dalam kerajaan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Tidakkah Muhyiddin menguasai MP (Ahli Parlimen) UMNO. Dia lantik Menteri UMNO tanpa peduli hirarki UMNO. Annuar jadi menteri juga.

“Annuar patuh cakap Muhyiddin daripada cakap parti. Dia pertahankan keputusan Muhyiddin isytihar darurat dan gantung Parlimen. Mujur Yang di-Pertuan Agong batalkan darurat.

“Annuar berkomplot menentang keputusan Perhimpunan Agung (UMNO). Beliau cuba halang parti keluar daripada kerajaan PN (Perikatan Nasional). Dia mahu Muhyiddin kekal jadi PM (Perdana Menteri),” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Bukan itu sahaja, Mohd Puad juga mendakwa Annuar cuba menghalang Parlimen dibubarkan awal sebelum pemilihan parti.

“Senanglah beliau dan kumpulannya menang pemilihan parti ketika mereka masih menjadi menteri.

“Naratif mereka sekarang ialah ‘No Anwar No DAP,’ padahal tular video Annuar yang kata, apa salahnya bekerjasama dengan DAP. Dia juga mempertahankan ‘MOU (perjanjian persefahaman) dengan DAP’ apabila Datuk Seri Ismail Sabri jadi PM.

“Apakah itu bukan bersekongkol dengan DAP? DAP dapat peruntukan sama banyak dengan MP BN. Bahkan dia kata MoU itu tidak ada had masa. Kalau batalkan MoU itu, BN boleh disaman. Begitu sekali dia suka DAP,” katanya.

Beliau berkata, tambah hipokrit apabila Annuar mendesak pemimpin parti jangan ‘tembak kaki sendiri’, tetapi Annuar kini ‘menembak’ kakinya sendiri.

“Dia salahkan Presiden, apa kurangnya dia. Dia juga punca kekalahan. Tidak patuh keputusan parti adalah kesalahan besar.

“Annuar kena nafi, betulkah pada malam terakhir wujud perundingan untuk dia jadi calon PN di Ketereh?,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles