MOF Perjelas Isu Kuota BUDI95, Paparan 150 Liter Hanya Ralat Sistem

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) memberi jaminan bahawa had bulanan subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 kekal pada kadar 200 liter sebulan bagi penerima yang layak, termasuk bagi bulan Jun 2026.

Penjelasan itu dibuat susulan kebimbangan yang timbul dalam kalangan pengguna selepas sebahagian daripada mereka mendapati paparan kuota bulanan dalam sistem BUDI95 menunjukkan had 150 liter ketika semakan dibuat pada tengah malam tadi.

Menurut MOF, perubahan paparan tersebut bukan berpunca daripada sebarang keputusan dasar atau pengurangan subsidi, sebaliknya berlaku akibat ralat teknikal semasa kerja-kerja penyelenggaraan sistem yang dijalankan pada jam 11 malam, 31 Mei lalu.

“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa semasa penyelenggaraan sistem BUDI95, sebahagian pengguna mungkin melihat paparan had bulanan menjadi 150 liter. Paparan tersebut adalah disebabkan oleh ralat teknikal sistem yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan.

“Justeru, tiada sebarang perubahan dibuat terhadap had bulanan BUDI95 dan kuota kekal sebanyak 200 liter sebulan,” menurut kenyataan kementerian hari ini.

Terdahulu, media sosial dibanjiri reaksi pengguna yang meluahkan rasa terkejut selepas mendapati had bulanan mereka bagi Jun dipaparkan sebagai 150 liter berbanding 200 liter pada bulan sebelumnya.

Situasi itu mencetuskan pelbagai persoalan, malah ada yang menuntut penjelasan segera daripada kerajaan memandangkan tiada sebarang pengumuman rasmi mengenai pengurangan kuota subsidi dibuat sebelum ini.

Mengulas lanjut, MOF memaklumkan kementerian akan terus memastikan pelaksanaan program BUDI95 berjalan secara lancar, telus dan teratur bagi menjamin bantuan subsidi bersasar sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

Kementerian turut melahirkan rasa kesal terhadap kekeliruan yang berlaku dan memohon maaf kepada pengguna yang terkesan susulan ralat teknikal tersebut.

BBerkaitan

Latest articles