MITI Nafi Lulus Megaspeed, Siasat Kemungkinan Cip AI Dieksport Semula

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menafikan pernah memberikan kelulusan kepada syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International Pte Ltd atau sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.

Sebaliknya, kementerian itu kini bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menyiasat kemungkinan cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi yang dibawa masuk oleh syarikat berkenaan dieksport semula ke negara lain tanpa mematuhi undang-undang.

MITI dalam kenyataan berkata, lawatan pengesahan yang dilakukan di pusat data tempat Speedmatrix menjadi penyewa adalah sebahagian daripada pemantauan rutin sektor berkenaan dan tidak boleh ditafsirkan sebagai kelulusan terhadap syarikat itu.

Menurutnya, Speedmatrix membawa masuk pelayan serta cip AI sendiri ke Malaysia untuk kegunaan operasi, yang ketika ini tidak memerlukan permit atau lesen.

Bagaimanapun, sejak Julai 2025, sebarang aktiviti eksport, eksport semula, pemindahan kapal atau transit cip AI berprestasi tinggi buatan Amerika Syarikat (AS) dari atau melalui Malaysia wajib mendapat permit MITI mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010.

Kementerian itu turut mengingatkan bahawa pemberian maklumat palsu kepada pihak Kastam berkaitan barangan berkenaan merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kastam 1967.

“Malaysia akan menjalankan pemeriksaan sendiri secara bebas, berdasarkan undang-undang negara dan bukti yang tersedia,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, MITI sedang memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa Singapura dan AS, selain mempertimbangkan langkah tambahan bagi memperketat kawalan sekiranya perlu.

Kementerian itu menegaskan Malaysia tidak menguatkuasakan sekatan eksport unilateral yang dikenakan negara lain, namun semua syarikat yang beroperasi di negara ini perlu mengambil kira sekatan berkenaan dalam urusan perniagaan antarabangsa.

MITI turut memberi amaran bahawa Malaysia tidak akan membenarkan negara ini dijadikan laluan untuk mengelak sekatan eksport, meskipun kekal terbuka kepada pelaburan dalam sektor pusat data dan teknologi.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar undang-undang Malaysia,” menurut kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles