Hadi: Tukar Kerajaan Melalui Demokrasi, Bukan ‘Tebuk Atap’

PAYA RUMPUT: PAS menolak tanggapan bahawa perubahan kerajaan melalui kesepakatan Ahli Parlimen merupakan gerakan ‘tebuk atap’, sebaliknya menegaskan proses demokrasi dan rundingan adalah jalan terbaik menentukan kepimpinan negara.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu memilih pendekatan aman dalam sebarang usaha perubahan politik, selaras dengan prinsip Islam yang mengutamakan kedamaian.

Menurutnya, pembubaran kerajaan untuk memberi laluan kepada pilihan raya juga merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati.

“Tidak ada tebuk atap, kita memilih proses demokrasi kerana Islam mendahulukan kedamaian. Berunding adalah kedamaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Presiden PAS di kediaman Datuk Yasin Sarif di Teratak Jaya, Kampung Paya Rumput, di sini, hari ini.

Mengulas penerimaan pengundi Cina terhadap PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Abdul Hadi mendakwa parti itu tidak pernah mengancam hak atau kehidupan masyarakat bukan Islam di negeri yang ditadbirnya.

Sebaliknya, beliau berkata, kehidupan masyarakat bukan Islam di Kelantan dan Terengganu berlangsung seperti biasa, meskipun PAS berdepan pelbagai persepsi negatif.

Pendirian itu selari dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini yang menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak akan menggunakan pendekatan ‘tebuk atap’ untuk menjatuhkan kerajaan atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Asyraf Wajdi berkata, sekiranya prinsip dan syarat pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak lagi dihormati, mandat seharusnya dikembalikan kepada rakyat melalui pembubaran Parlimen.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berulang kali menegaskan BN tidak berhasrat menjatuhkan kerajaan atau menukar Perdana Menteri menerusi gerakan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles