KUALA LUMPUR: Kekalahan Barisan Nasional (BN) sebanyak tiga kali dalam pilihan raya di Port Dickson boleh ditebus jika Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi berkenaan.
Ketua MIC Bahagian Port Dickson, Datuk M. Veloo yakin Menteri Kesihatan itu mampu menebus kekalahan BN selama tiga penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
Veloo juga melahirkan keyakinan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penyandang kerusi Parlimen itu pada masa kini, boleh dikalahkan jika Khairy dicalonkan.
“Memang dari dahulu Port Dickson adalah kerusi tradisi MIC tetapi selepas kalah tiga PRU berturut-turut, kali ini kita mahu BN menang.
“Jika pucuk pimpinan BN mahu mencalonkan Khairy di kerusi Parlimen Port Dickson, kami sangat alu-alukan,” katanya memetik MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu Khairy memberitahu kesediaannya memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mempertahankan penguasaan BN di kerusi Parlimen Rembau.
Bagaimanapun, Veloo melihat Pakatan Harapan (PH) akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan Anwar di kerusi Parlimen Port Dickson sekali gus memberi cabaran getir kepada Khairy atau sesiapa sahaja yang bakal dicalonkan BN.
“Anwar juga akan bertanding sebagai calon Perdana Menteri PH sekiranya mereka menang PRU-15. Kemungkinan untuk kalah itu memang ada dan Khairy perlu berdepan risiko itu,” jelasnya.