Anwar: TH Hampir Tersungkur Akibat Ketamakan, Kelalaian

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Lembaga Tabung Haji (TH) hampir mengalami kejatuhan akibat kelemahan tadbir urus, kecuaian pengurusan kewangan serta budaya tamak dan haloba yang mencemarkan sebuah institusi yang dibina atas asas amanah rakyat.

Beliau berkata, keadaan itu amat mendukacitakan memandangkan TH mempunyai rekod cemerlang sejak penubuhannya sebagai institusi yang mengurus kebajikan dan urusan haji umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, Anwar memaklumkan Jemaah Menteri telah bersetuju untuk mendedahkan keseluruhan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH supaya rakyat dapat mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dalam institusi berkenaan.

“Jemaah Menteri bersetuju untuk menyebarkan seluruh laporan RCI Tabung Haji.

“TH adalah sebuah institusi yang megah dengan sejarah gemilang, diasaskan oleh seorang pejuang, pemikir dan sarjana ulung, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz, yang telah memberi khidmat kepada ratusan ribu jemaah haji,” katanya ketika merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, pada Khamis.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengerusi Maybank, Tan Sri Ir Zamzamzairani Mohd Isa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi Pemodalan Nasional Bhd (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Uda; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli.

Menurut Anwar, TH diwujudkan berlandaskan prinsip integriti, amanah dan pengurusan kewangan yang berhemah seperti yang dicita-citakan oleh Allahyarham Ungku Aziz.

Namun, katanya, nilai-nilai tersebut akhirnya terhakis apabila berlaku kecuaian dalam mengurus institusi itu sehingga menjejaskan kedudukan kewangannya.

“TH hampir terlungkup kerana kecuaian, kegagalan menjaga institusi termasuk aspek kewangannya, selain tergelincir akibat tamak, haloba, kelalaian dan nafsu serakah yang akhirnya memusnahkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles