JOHOR BAHRU: Polis menahan sepasang pelajar kolej berusia 19 tahun bagi membantu siasatan selepas mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan di dalam mangkuk tandas sebuah rumah sewa di Taman Setia Mutiara, Kluang, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian terbongkar selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima laporan kira-kira jam 1 tengah hari berhubung seorang pelajar perempuan yang dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom kerana dipercayai baru melahirkan anak.
Menurut beliau, sejurus selepas melahirkan bayi berkenaan, wanita itu menghubungi gurunya sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar itu telah melahirkan seorang bayi dan turut mengesan masih terdapat seorang lagi bayi perempuan di dalam kandungannya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Siasatan lanjut di rumah sewa yang didiami pelajar terbabit kemudian membawa kepada penemuan mayat bayi perempuan di dalam mangkuk tandas.
Ab Rahaman berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada tubuh mangsa, namun punca sebenar kematian masih menunggu hasil siasatan dan bedah siasat.
Susulan penemuan itu, polis turut menahan seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai teman lelaki kepada wanita berkenaan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek lelaki akan dikemukakan di Mahkamah Majistret Kluang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atau cuba menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan.










