KUALA LUMPUR: Ketidakselarian laporan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2017 terus menimbulkan persoalan besar sehingga menuntut penjelasan rasmi daripada pihak kerajaan.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Salleh, membangkitkan kekeliruan berhubung perbezaan ketara antara dapatan Jabatan Audit Negara (JAN) dengan firma audit swasta yang dilantik berhubung prestasi kewangan agensi berkenaan.
Menurut beliau, TH pada tahun 2017 telah mengumumkan keuntungan sebanyak RM3.412 bilion selepas zakat, di mana angka berkenaan telah disahkan serta diiktiraf oleh JAN.
Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah badan berkanun, kewangan TH secara tertakluk berada di bawah bidang kuasa audit JAN.
Namun, timbul pertikaian apabila firma audit swasta yang dilantik kemudiannya melaporkan agensi berkenaan mencatatkan kerugian sebanyak RM4.1 bilion bagi tahun yang sama.
“Bila mana pihak swasta yang dilantik pula menjalankan audit, maka Tabung Haji pada tahun 2017 yang sama telah dikatakan rugi sebanyak RM4.1 bilion.
“Persoalannya, kita nak percaya audit yang mana satu?” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Akmal turut mempersoalkan implikasi perbezaan tersebut terhadap kredibiliti institusi audit di negara ini.
“Jika nak percaya dengan audit swasta, maka apakah kredibiliti Jabatan Audit Negara boleh dipertikaikan?
“Jika audit yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara itu salah dan menyeleweng, maka boleh ke kita percaya dengan semua audit yang dijalankan ke atas semua badan berkanun kerajaan dalam negara kita?” soalnya.
Beliau menambah, sekiranya JAN telah melaksanakan audit dengan betul, timbul pula persoalan sejauh mana kredibiliti audit swasta tersebut boleh dipercayai.
Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk tampil memberikan pencerahan terbuka berhubung isu berkenaan demi mengembalikan keyakinan rakyat.










