Mereka Dipecat, Digantung Sedang Giat Pasarkan Diri

KUALA LUMPUR: Mereka yang telah dipecat dan digantung dari UMNO kini sedang ‘rajin’ memasarkan diri sendiri untuk melihat tawaran terbaik, itu dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

“Kenapa? Supaya nilai pasaran diri mereka lagi mahal. Lobi tawaran terbaik.

“Ada yang dapat tawaran calon pilihan raya negeri (PRN), bakal menteri besar, DJ (juruhebah) dan penasihat. Mereka puas kalau parti asalnya porak-poranda,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Untuk rekod, MKT UMNO pada 27 Januari lalu memecat seramai 42 ahlinya melibatkan lima orang ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua orang ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli parti dari Pahang.

Antara yang dipecat ialah bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang digantung selama enam tahun termasuk Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Salim Shariff.

Noh sebelum ini memberitahu mahu menjadi penceramah bebas, manakala Khairy telah beberapa muncul dalam temubual di stesen radio dan televisyen.

BBerkaitan

Latest articles