SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, menuntut semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Negeri Sembilan melepaskan jawatan sekiranya mereka tidak lagi mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Loke berkata pendirian itu wajar diambil atas prinsip dan maruah memandangkan anggota exco terbabit baru sahaja mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada awal Ogos lalu selepas pembentukan kerajaan negeri susulan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, persoalan utama yang perlu dijelaskan ialah sumber kuasa exco untuk mengesahkan proklamasi yang didakwa menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta, selain mengiktiraf individu lain sebagai pengganti dengan kuat kuasa serta-merta.
“Sekiranya mereka kini tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, maka atas prinsip dan maruah, mereka sewajarnya meletakkan jawatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Loke turut menegaskan DAP tidak berganjak daripada pendirian mempertahankan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, selain menekankan kepentingan menjunjung keluhuran undang-undang serta menghormati institusi diraja.
Exco sahkan proklamasi 19 April
Kontroversi itu tercetus selepas exco Negeri Sembilan semalam menyatakan proklamasi bertarikh 19 April lalu berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah.
Dalam kenyataan sama, exco turut mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Menteri Besar, Ismail Lasim, hari ini mengesahkan keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat exco pada Selasa lalu.
Beliau turut memaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri telah diarahkan meneruskan proses pewartaan proklamasi berkenaan mengikut peraturan ditetapkan.
DKU tampil cabar pendirian kerajaan negeri
Bagaimanapun, pendirian kerajaan negeri itu ditolak Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan yang menegaskan keputusan exco berkenaan tidak mempunyai kesan undang-undang.
DKU berkata perkara berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar, adalah di bawah bidang kuasanya seperti diperuntukkan dalam Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
DKU turut menegaskan Tuanku Muhriz masih merupakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.










