ALOR SETAR: UMNO Kedah menggesa para pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) agar berhenti bertindak seolah-olah mereka mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu wajar diberikan pengampunan atau sebaliknya.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, isu berkenaan bukannya untuk diputuskan menerusi kenyataan politik mahupun perbicaraan di media sosial.
Jelas beliau, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan suatu proses yang jelas melalui Lembaga Pengampunan dan proses itulah yang wajib dihormati oleh semua pihak.
“Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan, mensabitkan dan menjatuhkan hukuman. Jabatan Penjara pula bertanggungjawab melaksanakan hukuman tersebut.
“Selepas sabitan dan hukuman, Perlembagaan menyediakan suatu proses yang tersendiri bagi mempertimbangkan permohonan pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Mahdzir, permohonan pengampunan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukannya suatu penolakan terhadap keputusan mahkamah, perbicaraan semula atau rayuan politik.
Sebaliknya, ia merupakan hak untuk memohon pertimbangan melalui saluran sah yang disediakan oleh undang-undang tertinggi negara.
“Kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang berteraskan ihsan bagi mengimbangi neraca keadilan setelah proses undang-undang selesai.
“Maka, tiada parti politik berhak mendahului atau cuba mempengaruhi pertimbangan tersebut dengan menentukan lebih awal siapakah yang layak atau tidak layak menerima pengampunan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa dukacita terhadap tindakan sebilangan pemimpin dan penyokong PH yang secara terbuka mendesak supaya permohonan Najib tidak diperkenankan.
Tindakan sedemikian tegasnya, bukan sahaja mendahului proses Lembaga Pengampunan, malah boleh dilihat sebagai cubaan memberikan tekanan politik terhadap pertimbangan yang sepatutnya berlangsung secara bebas dan tertib.
“Malaysia berdiri atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Menghormati Perlembagaan bukan bermaksud memilih peruntukan yang disukai dan menolaknya apabila melibatkan lawan politik.
“Perlembagaan tidak berubah mengikut warna parti atau nama individu,” katanya lagi.
Beliau menambah, UMNO Kedah akan terus menjunjung institusi Raja-Raja Melayu serta menghormati apa-apa keputusan yang dibuat selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.










