MyKad Baharu Kekal Dokumen Rasmi, Bantuan Dan Subsidi Kerajaan Tidak Terjejas

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kehilangan bantuan atau subsidi kerajaan susulan pengenalan MyKad generasi baharu kerana kad berkenaan kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi negara.

Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukadi, berkata MyKad generasi baharu boleh terus digunakan untuk urusan bantuan dan subsidi yang menetapkan kad pengenalan sebagai medium pengesahan atau penebusan.

Bagaimanapun, penggunaan itu tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan kementerian atau agensi berkaitan.

“Orang ramai tidak perlu bimbang bahawa pengenalan MyKad generasi baharu akan menyebabkan bantuan atau subsidi kerajaan terhenti.

“JPN sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan serta bantuan kepada rakyat yang layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjawab kebimbangan mengenai Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Muhammad Asraf menjelaskan pertukaran kepada MyKad generasi baharu tidak akan menjejaskan baki atau kelayakan penerima.

Katanya, maklumat baki dan kelayakan SARA direkodkan dalam sistem SARA, bukannya disimpan di dalam cip MyKad.

“ MyKad digunakan sebagai medium pengesahan penerima dan untuk membuat pembelian barangan keperluan asas di kedai atau pasar raya yang mengambil bahagian,” katanya.

Dalam pada itu, JPN menjelaskan pemegang MyKad sedia ada tidak diwajibkan menukar kad semata-mata kerana pengenalan versi baharu.

Pertukaran hanya diperlukan sekiranya MyKad sedia ada rosak, manakala pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad tanpa ghost image perlu mendapatkan MyKad generasi baharu.

Muhammad Asraf berkata pelaksanaan kad berkenaan mengambil kira keperluan sistem serta perkhidmatan yang menggunakan MyKad bagi mengelakkan gangguan terhadap urusan rakyat.

“Penyesuaian akan dibuat secara berperingkat bersama pihak berkaitan bagi memastikan urusan rakyat terus berjalan lancar,” katanya.

Mulai hari ini, permohonan MyKad generasi baharu boleh dibuat di 40 cawangan JPN yang dilengkapi kemudahan pusat cetakan.

Pemohon di cawangan berkenaan boleh mendapatkan kad pada hari yang sama, tertakluk kepada proses permohonan dan pengeluaran.

Bagi cawangan tanpa kemudahan cetakan, permohonan masih diterima dengan tempoh siap lima hari bekerja.

MyKad generasi baharu turut memperkenalkan ciri keselamatan tambahan bagi meningkatkan perlindungan dokumen pengenalan diri.

Antara ciri yang diperkenalkan ialah Hologram Keselamatan Dinamik dan Transparent Window pada bahagian hadapan kad, selain Kod QR Penguatkuasaan serta Cip Antara Muka Dwi Fungsi di bahagian belakang.

BBerkaitan

Latest articles