KUALA LUMPUR: Maybank secara rasmi mengumumkan penjenamaan semula Menara Merdeka 118 kepada Menara Merdeka Maybank, selaras dengan perpindahan ibu pejabat kumpulan perbankan itu ke bangunan ikonik berkenaan.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sesawangnya pada Selasa, Maybank memaklumkan penukaran nama tersebut mencerminkan kedudukannya sebagai penghuni utama dan ibu pejabat baharu di mercu tanda berkenaan.
Sehubungan itu, alamat berdaftar baharu ibu pejabat Maybank kini ialah Aras 70, Menara Merdeka Maybank, Presint Merdeka 118, 50118 Kuala Lumpur.
Pada masa sama, bangunan ibu pejabat lamanya di Jalan Tun Perak yang sebelum ini dikenali sebagai Menara Maybank turut diberi identiti baharu apabila dinamakan semula sebagai Menara Tun Perak.
Menurut Maybank, kedua-dua penjenamaan semula itu berkuat kuasa mulai 28 Julai.
Bagaimanapun, bank itu memberi jaminan bahawa operasi Cawangan Utama Kuala Lumpur akan terus berjalan seperti biasa di Menara Tun Perak sehingga dimaklumkan kelak.
Maybank turut menegaskan pelanggan yang mempunyai akaun di cawangan berkenaan tidak akan terjejas, dengan semua urusan dan perkhidmatan perbankan kekal beroperasi seperti biasa.










