KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan permohonan untuk menurunkan sebanyak 345,712 kandungan yang dikenal pasti sebagai memudaratkan di platform digital sejak awal tahun ini, dengan setiap permohonan memerlukan antara 30 hingga 45 minit untuk diproses.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, proses itu bukan sekadar menghantar permohonan kepada platform digital, sebaliknya memerlukan penyediaan dokumen lengkap berserta justifikasi mengapa sesuatu kandungan diklasifikasikan sebagai memudaratkan.
Menurut beliau, kira-kira 91 peratus daripada keseluruhan kandungan yang dimohon untuk diturunkan membabitkan unsur perjudian dan penipuan dalam talian (scam) yang berulang kali dimuat naik oleh sindiket jenayah serta dipromosikan melalui media sosial.
Katanya, jika setiap permohonan diambil kira selama 30 minit, jumlah masa yang digunakan MCMC bagi menguruskan proses itu sejak 1 Januari lalu bersamaan kira-kira 19.7 tahun waktu bekerja.
“Berdasarkan angka 345,712 permohonan itu, MCMC telah menggunakan kira-kira 19.7 tahun waktu bekerja hanya untuk memfailkan permohonan menurunkan kandungan yang dipercayai memudaratkan.
“Sehubungan itu, MCMC sedang meneliti penggunaan teknologi agentic AI bagi meningkatkan kecekapan mengurus aduan, sekali gus mengurangkan beban tugas pegawai. Kami juga menggalakkan platform media sosial menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan dan menurunkan kandungan yang melanggar garis panduan komuniti dengan lebih pantas,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata kerajaan sedang memuktamadkan kerangka kawal selia di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), termasuk satu lagi instrumen peraturan berkaitan ciri-ciri pesanan peribadi bagi memperjelaskan tanggungjawab platform digital dalam menangani kandungan berbahaya.
Beliau berkata, MCMC kini melaksanakan rundingan awam bagi menggubal Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Sifat yang Lain bagi Ciri-Ciri Pesanan Peribadi), yang bermula pada 19 Jun dan dijadual berakhir pada 20 Julai sebelum dimuktamadkan.
Menurutnya, peraturan itu merupakan antara 10 instrumen subsidiari yang melengkapkan pelaksanaan Akta 866, merangkumi peraturan, kod amalan dan garis panduan bagi memperincikan kewajipan penyedia perkhidmatan berlesen serta memastikan pematuhan terhadap tanggungjawab yang ditetapkan undang-undang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai perkembangan pembangunan instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, termasuk peraturan, garis panduan dan mekanisme pelaksanaannya.
Fahmi turut memaklumkan bahawa empat daripada 10 instrumen subsidiari tersebut telah berkuat kuasa serentak dengan Akta 866 pada 1 Januari 2026.










