Home BERITA MB Pahang Sifatkan Kemenangan BN Dun Tioman Bukti Rakyat Mula Terima Gabungan...

MB Pahang Sifatkan Kemenangan BN Dun Tioman Bukti Rakyat Mula Terima Gabungan BN-PH

ROMPIN: Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kemenangan BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sebagai bukti rakyat sudah menerima gabungan BN-PH (Pakatan Harapan) di Pahang.

“Sudah tentu masyarakat boleh terima kerana jika tidak, mana mungkin kita boleh menang… saya telah jelaskan beberapa kali kerajaan negeri harus ditubuhkan (dengan kerjasama antara BN dan PH) supaya kita dapat melaksanakan tugas untuk rakyat.

“Sekiranya kerajaan negeri tidak dapat ditubuhkan, kerajaan negeri akan tergantung dan pihak yang rugi adalah rakyat,” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menyaksiakan tiada parti yang memperoleh kemenangan majoriti iaitu 22 kerusi di DUN Pahang, justeru itu BN dan PH telah bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.

Pada pilihan raya itu, calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain mempertahan DUN Tioman dengan majoriti 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon PN Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.

Tiga lagi calon iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly daripada PH mendapat 784 undi, Osman A Bakar (Pejuang) 79 undi dan Sulaiman Bakar (Bebas) hanya memperoleh 58 undi.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata keputusan bekerjasama dengan PH di Pahang juga adalah selari dengan pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan yang disifatkan dapat memudahkan perancangan kerajaan negeri.

Beliau turut melahirkan keyakinan Mohd Johari dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan berkhidmat dengan baik kepada penduduk Tioman.

 

NO COMMENTS

Exit mobile version