“Jangan lempar tuduhan tanpa fakta” – Fadzmel bidas Guan Eng

KUALA LUMPUR: Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil membidas kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu peruntukan kewangan dan hutang tertunggak yang dikaitkan dengan kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Fadzmel dalam satu kenyataan tegas mempertahankan menterinya sambil mendakwa masalah hutang tertunggak yang dibangkitkan sebenarnya sudah bermula sejak era pentadbiran terdahulu sebelum dibawa ke penggal semasa.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti Ahli Parlimen Bagan itu dan mengingatkan bahawa setiap kelulusan peruntukan melalui Kementerian Kewangan sebelum dibahaskan di Parlimen mempunyai rekod tersendiri.

Mengulas lanjut, Fadzmel mengungkit rekod pentadbiran lalu apabila Guan Eng sendiri pernah membentangkan bajet tambahan bernilai RM9.2 bilion khusus untuk Kementerian Kewangan pada tahun 2018.

“Sistem kewangan Kerajaan ini bukan kedai runcit, kalau ada orang nak buat perbelanjaan lebihan je dia akan terus trigger dalam sistem dan tidak membenarkan sesuatu projek atau program dibelanjakan sesuka hati,” jelasnya sambil menambah bahawa perbelanjaan kerajaan sentiasa tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan yang ketat.

Fadzmel menyifatkan serangan berterusan itu sebagai tindakan politik yang berniat menuding jari sebelum menyemak fakta sahih.

Beliau turut menggesa agar semua pihak berhenti melontarkan dakwaan melulu yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Jangan buat perangai DAP sangat… lempar tuduhan dahulu, fakta kemudian,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa pertikaian politik sedemikian rupa sebenarnya membawa impak negatif kepada pihak ketiga, terutamanya kontraktor luar bandar termasuk usahawan Melayu yang sedang terkesan dengan cabaran ekonomi semasa.

Beliau mendakwa kritikan yang dilemparkan terhadap Ahmad Zahid didorong rasa tidak puas hati peribadi, yang akhirnya merugikan nasib kontraktor di peringkat akar umbi.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mendesak agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dikenakan tindakan tegas berikutan isu perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Beliau menegaskan bahawa langkah sedemikian rupa perlu diambil segera bagi mengelakkan kementerian-kementerian lain daripada mengulangi kesalahan serupa yang dikhuatiri mampu memudaratkan khazanah serta kestabilan kewangan negara.

BBerkaitan

Latest articles