MOF, KKDW Perlu Bincang Secara Baik

AMPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Kewangan (MOF) berbincang bagi menyelesaikan isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor.

Perdana Menteri berkata, pertikaian yang dibangkitkan secara terbuka oleh kedua-dua kementerian itu perlu ditangani secara baik.

“Kita bincang secara baik. Saya minta kedua-dua kementerian berbincang dengan baik,” katanya ringkas pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat di sini, hari ini.

Isu berkenaan timbul susulan laporan bahawa kelewatan pembayaran kepada kontraktor menjejaskan kelangsungan pelaksanaan projek di bawah KKDW, yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati kerana sebahagian kontraktor yang sudah melaksanakan kerja dan mencapai tahap kemajuan ditetapkan masih belum menerima bayaran. Projek terbabit termasuk Jalan Luar Bandar (JALB).

Menurut beliau, kelewatan itu menjejaskan aliran tunai kontraktor sehingga ada yang terpaksa menghentikan operasi, selain berdepan tindakan undang-undang daripada pembekal bahan dan subkontraktor.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, menjelaskan bahawa MOF tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar.

Beliau berkata, keseluruhan dana yang diperuntukkan kepada kementerian itu sudah disalurkan, manakala kekangan pembayaran berlaku selepas peruntukan berkenaan dibelanjakan sepenuhnya.

MOF turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu melunaskan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, semalam mengingatkan semua kementerian dan agensi kerajaan supaya memastikan perbelanjaan dilaksanakan mengikut peruntukan yang diluluskan.

BBerkaitan

Latest articles