MB Pahang Gesa Segera Bawa Pulang ‘DAK’ Dari Jepun

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa Zoo Taiping & Night Safari mengambil tindakan segera membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Jepun.

Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan pelbagai pihak termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia mengenai keadaan mamalia berkenaan di luar negara.

Wan Rosdy menegaskan, isu melibatkan tiga gajah itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara yang perlu dipelihara dengan sewajarnya.

“Saya berpandangan perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana gajah-gajah itu merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar Dara, Amoi dan Kelat ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah yang disifatkan lebih sesuai dari segi habitat semula jadi serta keperluan penjagaan haiwan berkenaan.

Menurutnya, Kuala Gandah mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan gajah, termasuk dari aspek interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi.

“Kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya dan dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri,” tegasnya lagi.

Terdahulu, isu kebajikan tiga gajah tersebut mencetuskan perbincangan hangat apabila pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan dan kesesuaian penempatan haiwan itu di luar habitat asalnya.

BBerkaitan

Latest articles