Mayat Ditemui Dalam Ruang Tayar Pesawat Dari Tokyo Di KLIA2

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemui dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat yang baru tiba dari Tokyo, Jepun, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), pagi ini.

Mayat berkenaan ditemui kira-kira 6.55 pagi, tidak lama selepas pesawat itu mendarat sekitar 6.30 pagi.

Difahamkan, penemuan terbabit dibuat kakitangan kejuruteraan yang ditugaskan membuka ruang simpanan tayar pesawat berkenaan.

Kakitangan terbabit dikatakan terlebih dahulu terhidu bau busuk yang mencurigakan dari ruang berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan.

Pemeriksaan kemudian menemukan mayat seorang individu yang dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an, sebelum penemuan itu dilaporkan kepada Bilik Gerakan Balai Polis KLIA2.

Mangsa ditemui berpakaian seluar jeans dan baju putih, namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya.

Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan dan pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih 72 jam.

Setakat ini, identiti mangsa serta punca kematiannya masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles