KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengotakan komitmen untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta menjalankan kajian menyeluruh terhadap semua undang-undang era penjajahan selaras dengan agenda reformasi negara.
Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh berkata, langkah itu wajar diberi perhatian dan pertimbangan serius susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan undang-undang pra-Merdeka perlu dimansuhkan bagi memberi erti sebenar kepada kemerdekaan.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, Akta Hasutan 1948 merupakan perundangan lapuk dan bersifat zalim yang kerap dikritik kerana memberi kesan negatif terhadap kebebasan bersuara, selain telah dimansuhkan di negara luar seperti United Kingdom pada 2009 dan Singapura pada 2021.
”Satu kebimbangan serius berhubung Akta Hasutan ialah niat seseorang tidak menjadi faktor dalam menentukan kesalahan.
“Sesuatu kenyataan boleh dianggap mempunyai kecenderungan menghasut tanpa mengambil kira niat asal individu yang menyatakannya.
”Hampir tujuh dekad selepas kemerdekaan, Kerajaan Madani kini mempunyai peluang untuk memansuhkan Akta Hasutan sepenuhnya selaras dengan komitmen lama Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan media.
Mengulas lanjut, Ramkarpal turut mencadangkan agar undang-undang pra-Merdeka lain seperti Akta Keterangan, Kanun Keseksaan dan Akta Undang-Undang Sivil 1956 dikaji semula atau digantikan bagi menangani realiti persekitaran semasa, termasuk perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Tambah beliau, tanpa pindaan atau pemansuhan secara nyata oleh Parlimen, undang-undang lama berkenaan akan terus berkuat kuasa walaupun terdapat peruntukan kuasa di Mahkamah Persekutuan.
”Usaha kajian menyeluruh dan pemansuhan undang-undang era penjajahan ini sewajarnya mendapat sokongan bipartisan kerana ia jelas demi kepentingan terbaik negara dan memberi erti sebenar kepada kemerdekaan,” ujarnya.










