Mangsa banjir dapat rebat RM500 beli barangan elektrik

Putrajaya –   Mangsa banjir yang terkesan di seluruh negara akan diberikan e-rebat bernilai RM500 untuk pembelian peralatan elektrik domestik bermula 7 Januari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, program Bantuan Pembelian Peralatan Elektrik Domestik bertujuan meringankan beban pengguna elektrik domestik yang terkesan untuk membuat pembelian barangan elektrik bagi menggantikan peralatan yang rosak.

“Melalui bantuan ini, setiap rumah kediaman pengguna/pemilik akaun elektrik berdaftar (domestik) yang layak boleh memohon dan mendapatkan e-rebat bernilai RM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasaraya yang berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf di bawah Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE),” katanya dalam sidang media di Putrajaya di sini hari ini.

Jelas Takiyuddin, bantuan khas ini dikhususkan kepada warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pengguna/pemilik akaun elektrik (domestik) dengan syarikat utiliti elektrik.

“Bantuan ini dikhaskan untuk rumah kediaman yang terkesan oleh banjir dan tersenarai sebagai Mangsa Bencana yang disahkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya.

Beliau berkata, pemberian bantuan ini hanya untuk 15 peralatan elektrik domestik yang disenaraikan sahaja.

“Ia tidak terikat kepada syarat label cekap tenaga dan perlu mematuhi piawaian keselamatan elektrik.

“Walau bagaimanapun, pengguna digalakkan membeli peralatan elektrik berlabel cekap tenaga,” ujarnya.

Tambahnya, pelaksanaan program ini akan menggunakan platform dan mekanisme Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia).

“Pemohon yang berninat boleh merujuk ke laman sesawang di pautan http://www.seda.gov.my/bantuan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles