KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak akan sesekali membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang diluluskan kerajaan, tegas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, setiap perbelanjaan kementerian dibuat berdasarkan peruntukan yang diluluskan atau dinyatakan dalam belanjawan kerajaan.
Beliau berkata, dakwaan bahawa KKDW berbelanja melebihi peruntukan adalah sesuatu yang tidak munasabah kerana kementerian hanya boleh menggunakan dana yang telah diperuntukkan.
“Tidak pernah ada sebuah kementerian yang membelanjakan lebih daripada yang diperuntukkan.
“Apa yang dibelanjakan itu secara tidak langsung menjawab soalan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan).
“Berapa peruntukan yang ada? Mana ada bajet yang cantik. Mana mungkin KKDW akan membelanjakan bajet melebihi daripada apa yang dinyatakan dalam ucapan belanjawan atau apa yang diperuntukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa KKDW dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional di Cyberjaya, hari ini.
Kenyataan itu menyusul pendedahan Zahid pada Selasa lalu berhubung kelewatan pembayaran kepada sebahagian kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan luar bandar.
Menurut Zahid, kelewatan berkenaan menyebabkan beberapa kontraktor berdepan tekanan aliran tunai sehingga ada yang terpaksa menghentikan operasi.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, dilaporkan menjelaskan bahawa sebahagian besar peruntukan tahun ini bagi projek jalan luar bandar sudah dibelanjakan, sekali gus menimbulkan kekangan dalam pembayaran.
Beliau turut dilaporkan berkata, keseluruhan peruntukan berkenaan telah diagihkan, selain mendakwa KKDW secara konsisten membelanjakan melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.










