KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas dengan mengemukakan notis tuntutan kerugian melebihi RM1 bilion terhadap sebuah syarikat pertahanan dari Norway susulan pembatalan kontrak pembelian sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, notis tuntutan itu dihantar semalam selepas kerajaan Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem pertahanan berkenaan, sekali gus menjejaskan kontrak yang telah dimeterai sejak 2018.
Menurut beliau, Malaysia menuntut pampasan melibatkan kos langsung serta tidak langsung yang ditanggung kerajaan akibat keputusan tersebut.
Katanya, kerajaan sebelum ini telah membuat bayaran sebanyak €126 juta, bersamaan kira-kira RM583 juta, iaitu hampir 95 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak sebelum lesen eksport itu dibatalkan.
“Kos langsung yang dituntut ialah €126 juta iaitu jumlah yang telah dibayar kepada pihak syarikat,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Kontrak pembelian sistem NSM itu dimeterai pada April 2018 antara Tentera Laut Diraja Malaysia dan Kongsberg Defence & Aerospace bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengecam tindakan Norway menarik balik lesen eksport sistem NSM serta pelancar berkaitannya yang disifatkan sebagai tidak wajar dan tidak boleh diterima.
Beliau menegaskan Malaysia telah memenuhi semua obligasi kontrak sejak awal perjanjian dimeterai dan menyifatkan kontrak antarabangsa sebagai komitmen serius yang tidak boleh dibatalkan sesuka hati.










