Malaysia, Rusia Perkukuh Kerjasama Strategik Menerusi JC-ESTC Ke-5

KUALA LUMPUR, Malaysia dan Persekutuan Rusia bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, kecerdasan buatan (AI), tenaga, kewangan dan teknologi menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia–Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Ke-5 yang berlangsung di Vladivostok, Rusia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata beliau mempengerusikan bersama mesyuarat itu dengan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Valery Falkov.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan amat signifikan menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Rusia pada 2027, dengan kedua-dua negara bersetuju memuktamadkan Pelan Tindakan Bersama 2027 sebelum penghujung tahun ini bagi memastikan kerjasama yang lebih tersusun dan berorientasikan hasil.

“Berlandaskan momentum hubungan di peringkat tertinggi yang melibatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Presiden Persekutuan Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, JC-ESTC kali ini memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan hubungan baik kedua-dua negara kepada kerjasama yang lebih konkrit,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, dalam bidang perdagangan, pertanian dan pelaburan, kedua-dua negara membincangkan usaha memperluas akses pasaran, memperkukuh kerjasama perdagangan serta meneroka kerjasama bekalan baja termasuk urea bagi menyokong keterjaminan makanan Malaysia.

Zambry berkata Rusia juga akan meneruskan tawaran 40 biasiswa kerajaan negara itu setiap tahun kepada pelajar Malaysia, selain kedua-dua pihak mengalu-alukan penganjuran Forum Rektor Malaysia-Rusia yang pertama pada 2027.

Beliau berkata kedua-dua negara turut bersetuju memperluaskan kerjasama menerusi MAI–UniKL Russian Aerospace Programme, Russia–Malaysia Raw Materials Dialogue serta Malaysia–Russia Youth Leadership Summer Camp bagi memperkukuh jaringan antara pelajar, ahli akademik dan penyelidik.

Dalam masa sama, katanya, kerjasama turut diperkukuh dalam sektor strategik meliputi AI, teknologi digital, bandar pintar, keselamatan maklumat, telekomunikasi, tenaga boleh baharu, gas asli cecair (LNG) dan gas petroleum cecair (LPG), selain meneroka penggunaan tenaga nuklear secara aman tertakluk kepada undang-undang serta keperluan kawal selia kedua-dua negara.

Beliau berkata kedua-dua negara juga mencapai kemajuan dalam memperkukuh kerjasama kewangan susulan penglibatan Bank Negara Malaysia dan Bank of Russia, termasuk meneroka peranan Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa serta pintu masuk ke ASEAN, di samping potensi kerjasama dalam kewangan Islam dan aset digital.

Menurut beliau, kerjasama turut diperluaskan meliputi sektor industri, kesihatan, pengangkutan, teknologi hijau, perubahan iklim, ekonomi kreatif dan angkasa.

Pada mesyuarat itu, Zambry dan Falkov turut menyaksikan pertukaran tiga perjanjian kerjasama antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Rusia melibatkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan National Research University “Moscow Power Engineering Institute”, UiTM dengan Institute of Experimental Medicine, serta Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan State University of Land Use Planning.

Zambry berkata kedua-dua negara berharap segala kesepakatan yang dicapai menerusi JC-ESTC Ke-5 dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat kepada rakyat, dengan Malaysia dijadual menjadi tuan rumah JC-ESTC Ke-6 pada 2027 sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Rusia.

 

BBerkaitan

Latest articles