Malaysia Airlines Siasat Dalaman, Sedia Bantu Indonesia Dalam Kes Juruterbang Disyaki Seludup Dadah

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan penahanan seorang juruterbang syarikat itu di Indonesia yang disyaki terbabit dalam kes penyeludupan dadah.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, syarikat penerbangan itu memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan yang dikaitkan dengan kakitangannya, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Menurut Malaysia Airlines, semua bentuk kerjasama akan diberikan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa bagi membantu proses siasatan.

“Syarikat ingin menegaskan bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku. Pada masa sama, semakan dalaman turut sedang dijalankan berhubung insiden ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines turut menegaskan aspek keselamatan, sekuriti serta integriti operasi kekal menjadi keutamaan syarikat dalam setiap urusan.

Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah di Jakarta.

Polis Indonesia mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan suspek akan berdepan tindakan mengikut peruntukan undang-undang negara berkenaan, sementara siasatan lanjut masih diteruskan.

BBerkaitan

Latest articles